Tidak sabar mulakan projek ternak kambing
PESERTA bengkel usahawan kambing Mega-Utusan yakin mampu mengusahakan ladang ternakan dengan baik selepas mengikuti bengkel selama dua hari di Homestay Banghuris di Sepang, Selangor, baru-baru ini.
Mereka yang jelas tidak sabar untuk mengusahakan ternakan masing-masing berkata, bidang tersebut mempunyai potensi besar untuk berkembang dan menjanjikan pulangan lumayan.
Azi Azlin, 23, berkata, beliau bercadang membuka ladang ternakan kambing di Tanah Felda Cahaya Baru di Johor selepas menguasai teknik-teknik menternak haiwan itu.
‘‘Saya sebelum ini menamatkan pengajian dalam bidang teknologi tumbuhan dan menaruh minat mendalam terhadap bidang pertanian.
‘‘Saya yakin bengkel ini dapat membantu saya menjadi usahawan pertanian yang berjaya khususnya dalam menternak kambing,” katanya kepada Mega, baru-baru ini.
Bengkel usahawan Mega-Utusan dengan rakan strategiknya, Perfect Agro Sdn. Bhd. (PASB), Agro Bank dan Pusat Pengembangan, Keusahawanan dan Pemajuan Profesional (APEEC), Universiti Putra Malaysia (UPM) itu diadakan selama dua hari.
Seorang lagi peserta, Norhaniza Mohd. Noor, 24, berkata, semangat untuk membina kerjaya sendiri mendorongnya menyertai bengkel kambing Mega-Utusan yang julung-julung kali diadakan.
‘‘Sebelum ini saya telah membuat kajian mengenai peluang dalam ternakan kambing di UPM, bengkel ini akan mengukuhkan pengetahuan saya mengenai ternakan ini,” katanya.
R, Krishnan, 45, pula berkata, bengkel anjuran sisipan Utusan Malaysia, Mega tersebut menambahkan pengetahuannya mengenai kambing.
‘‘Saya bekerja dalam bidang industri farmasi veterinar, bengkel ini dapat membantu dalam kerjaya dan membolehkan saya mengusahakan ladang sendiri satu hari nanti,” katanya.
Siswazah dari Universiti Multimedia Melaka, Mohd. Hazmi Abdul Halim, 24, berkata, minat yang mendalam dalam pertanian mendorongnya menyertai bengkel usahawan kambing.
‘‘Saya berharap dapat menternak kambing secara komersial,” katanya.
Sementara itu Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Dr. Ibrahim Che Embong, berkata, bengkel tersebut merupakan usaha murni yang mampu menjana ekonomi diri sendiri dan ekonomi negara juga.
Ini kerana, kerajaan berhasrat mengurangkan import dan meningkatkan pengeluaran bahan makanan berasaskan ternakan negara khususnya daging lembu dan kambing untuk kegunaan domestik.
Keperluan
Pada masa ini, Malaysia masih terpaksa bergantung kepada import dalam memenuhi keperluan daging negara.
‘‘Kita telah pun meletakkan sasaran pengeluaran daging lembu kepada 28 peratus dan kambing 21 menjelang menjelang 2010.
‘‘Hingga kini, kadar sara diri (SSL) daging lembu negara telah berjaya mencecah 23 peratus, manakala kambing sembilan peratus,’’ katanya.
Pusat Pembiakan Kambing Boer Nasional (NBBC)
* Kerajaan telah menubuhkan Pusat Pembiakan Boer Nasional (NBBC) bertujuan
* Menyediakan pelan rangkaian pengeluaran dan pemasaran yang bersistematik dalam kuantiti yang mega dalam negara.
* Kerajaan telah mengenalpasti kawasan dan projek ini di Pondok Tanjung, Perak untuk menjadi suatu pusat pengeluaran.
* Malaysia menyasarkan populasi asas ternakan kambing di Malaysia sehingga mencapai populasi lebih kurang 1.1 juta ekor induk kambing negara di bawah Dasar Kambing Negara.